#FILEM BARU: Keunggulan Balistik

SIAPA sangka, hanya kerana berkongsi tukang jahit yang sama menjadikan Datuk Rosyam Nor dan Datuk Kelvin Tan menjadi rapat sebelum kedua-duanya berpakat menubuhkan RK Screen.

 Titik penubuhan itulah menyaksikan RK Screen Sdn Bhd dengan usaha sama Asia Tropical Films Sdn Bhd (ATF), menerbitkan sebuah filem, Balistik.

 Filem yang dibikin dengan kos RM2.5 juta termasuk kos promosi ini membariskan pelakon hebat tanah air seperti Datuk Rosyam Nor, Adi Putra, Rita Rudaini, Jack Lim, adik Raykarl Iskandar dan turut dibantu oleh Datuk Rahim Razali, Mei Yan dan ramai lagi.
Rosyam Nor 

 Masih mengangkat tema gengsterisme, namun bagi penulis Balistik mempunyai keistimewaan tersendiri untuk diketengahkan, apatah lagi turut menyelitkan unsur kasih sayang dan hubungan kekeluargaan di dalam dalamnya.

 Tidak hanya sekadar aksi semata-mata, filem ini juga memperuntukkan RM450,000 bagi kos senjata sahaja termasuk menggunakan lebih 1,000 peluru.

 Pendek kata, tidak mustahil, Balistik akan menjadi antara filem box-office pada tahun ini.

 Apatah lagi filem ini mempunyai banyak faktor dan daya penarik untuk menarik penonton ke panggung.

 Aksi dan air mata 

 Secara ringkasnya, Balistik mengisahkan perjalanan hidup Saga lakonan Rosyam yang bekerja sebagai pembunuh upahan.

Saga juga merupakan suami kepada Salina (Rita Rudaini). Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rykarl (Rykarl Iskandar).

 Kegiatan aktif Saga dalam dunia kongsi gelap membuatkan kehidupannya berisiko tinggi dan sentiasa terdedah kepada bahaya.

Gaya hidupnya memaksa Saga untuk mengambil keputusan berpisah dengan Salina. Namun, anaknya dibawa bersama.

 Enam tahun kemudian, Saga sudah pun membina hidupnya dengan aktif dalam dunia gengsterisme bersama temannya, Jack (Jack Lim).

 Rykarl dibesarkan oleh Saga tanpa kasih sayang seorang ibu. Anak kesayangannya yang sudah pun bersekolah tadika itu sangat rapat dengan gurunya, Zira. Keakraban ini akhirnya mewujudkan rasa sayang Zira kepada Saga.

 Setelah sekian lama, Salina kembali muncul dalam hidup Rykarl dan Saga. Namun, pada ketika itu, Salina sudah pun berkahwin dengan Nizam (Ady Putra) yang merupakan rakan baik Saga di rumah anak yatim sewaktu kecil.

 Saga dan Nizam tersepit dalam dua situasi, Nizam yang berdiri di landasan undang-undang dan Saga yang terpaksa menurut arahan ketuanya untuk membunuh rakan baiknya, Nizam.

 Konflik inilah yang akan membawa penonton melayari sebuah cerita yang mengadunkan sebuah cerita yang penuh drama, air mata dan aksi.

Plot yang nampak ringkas ini sebenarnya disusun dengan cukup padat oleh pengarahnya, Silver.

 Aksi, bunyi mantap 

 Bukan itu sahaja, Silver turut menggunakan khidmat ramai stunt man termasuk dari Hong Kong bagi menjayakan beberapa babak aksi di dalam filem ini.

 Ia sekali gus menjadikan Balistik sebuah filem tempatan yang bertaraf antarabangsa apatah lagi di tambah dengan penggunaan senjata yang lebih banyak daripada pergaduhan menggunakan badan.

 Apatah lagi, ditambah lagi dengan aksi pelanggaran kereta, tembak menembak dari kereta dan tidak kurang juga dengan babak letupan kereta akan membuatkan anda sentiasa berdebar-debar dan rasa ingin tahu apa yang akan terjadi seterusnya.

 Bukan itu sahaja, kesan bunyi yang dibuat dalam filem ini juga 'mencantikkan' lagi keseluruhan cerita dan membuatkan setiap babak terutamanya babak tembak menembak dan letupan terasa lebih 'real'.

 Gandingan hebat

 Perkara utama yang bakal menjadi daya penarik bagi filem ini adalah gandingan tiga pelakon utama iaitu Rosyam, Adi dan Rita yang sememangnya terkenal dengan keserasian dan keberkesanan lakonannya.
Adi Putra dan Rita Rudaini 

 Tidak hairanlah jika penulis katakan filem ini cukup 'tip top' dari segi lakonannya dan permainan emosi yang cukup real.

 Ketiga-tiga pelakon ini berjaya memberikan lakonan yang mantap tanpa cuba mengatasi pelakon lain atau kelihatan terlalu melebih-lebih

 Begitu juga dengan lakonan adik Raykarl yang semula jadi dan bersahaja.

Anda juga pasti akan sama menangis tatkala melihat bintang kecil ini menangis tatkala dipukul Saga yang juga bapanya dalam filem ini.

 Malah, Rosyam pada malam pratonton filem Balistik, baru-baru ini turut mengakui terpaksa memukul Raykarl betul-betul bagi memastikan babak berkenaan kelihatan benar-benar berlaku dan Raykarl turut menyelit sambil mengakui tidak sakit dipukul Rosyam.

 Filem 1 Malaysia 

 Selain itu, tidak mustahil filem ini juga akan menarik kaum lain terutamanya masyarakat Cina kerana filem ini melibatkan ramai pelakon Cina termasuk juruhebah, Jack Lim.

 Dijangka ditayangkan di 90 pawagam di seluruh negara termasuk negara jiran, Singapura dan Brunei,

Balistik juga dalam proses perbincangan untuk mendapat kelulusan penayangan di Hong Kong, China dan Taiwan.

 Seiring dengan realiti kehidupan rakyat Malaysia yang majmuk ini, Balistik adalah cermin kepada perpaduan kaum di bawah bendera 1Malaysia yang bersatu padu.

 Ternyata keputusan Rosyam untuk memerap seketika naskhah Balistik berbaloi, apatah lagi nama Rosyam kini kembali menjadi perhatian setelah berjaya memberikan lakonan yang cukup mantap dalam filem KL Gangster 2 sebagai Tailong.

 Kekurangan dimaafkan 

 Pujian yang penulis berikan kepada filem ini bukanlah bermakna Balistik sempurna dari segala sudut.

 Namun, apa yang boleh penulis katakan, kelemahan-kelemahan kecil yang terdapat di dalam filem ini, masih boleh dimaafkan apatah lagi dengan paparan faktor lain yang cukup bagus.

 Jadi secara tidak langsung, penonton akan melupakan kesalahan kecil yang terdapat di dalam filem ini dengan lakonan, aksi yang cukup mantap.

 Jadi bagi anda yang ingin mengetahui sendiri keseluruhan jalan cerita filem ini, jangan lupa untuk menyaksikan Balistik di pawagam sekarang.[SH]

No comments