Tuesday, December 31, 2013

#PANAS: Stacy kesal laporan tidak benar

“Saya tak pernah bercinta dengan Akim dan tak bersedia nak kahwin.

Ada salah faham dalam laporan akhbar terbabit," jelas Stacy mengenai laporan akhbar tempatan (bukan Sinar Harian) yang mengatakan dia dan Akim sudah lama menjalinkan hubungan cinta dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

 Menurut Stacy atau nama sebenarnya, Stacie Angie Anam, sehingga kini dia dan Akim berkawan rapat.

Bagaimanapun ia bukan bererti mereka bercinta.

 “Memang sudah lima tahun kami berkawan, tapi bukan bercinta. Kami juga tidak akan ke fasa seterusnya kerana saya masih belum memikirkan soal kahwin.

Saya baru 23 tahun. Masih panjang lagi masa untuk saya berfikir sejauh itu. “Saya memang rapat dengan Akim, cuma sekarang, masing-masing sibuk dan kami sudah lama tak berhubung.

Tapi akan berkomunikasi melalui telefon sahaja,” tutur gadis pulau Borneo ini berhati-hati bimbang salah faham berulang.

 Mengulas mengenai kesediaannya memeluk agama Islam, Stacy berkata : "Saya belum bersedia tetapi sangat mengagumi agama Islam, apatah lagi saya banyak bergaul dengan mereka yang beragama Islam.

 “Perkara ini sensitif. Saya tak berani nak cakap lebih-lebih apatah lagi melibatkan hal agama.

Tapi kalau satu hari nanti ditakdirkan saya memeluk Islam, saya akan buat dari hati saya.

Ia tidak melibatkan sesiapa,” katanya.

 Utamakan Bella 

 Tinggalkan sejenak mengenai isu agama dan percintaannya, Stacy juga mengakui dia sanggup berkorban apa sahaja demi anaknya, Bella.

 Walaupun sibuk dengan nyanyian dan persembahannya di luar Kuala Lumpur, Stacy mengakui akan membawa Bella ke tempat kerjanya.

 Malah, dalam kehidupan harian memikul tanggung jawab sebagai ibu pun Stacy cekap memastikan keperluan dan kebajikan Bella yang sudah menjangkau setahun lebih itu terjaga.

 “Saya akan bawa Bella bersama jika saya ada persembahan. Kami memang tak boleh berenggang. Memang ibu mahu pun adik-beradik saya boleh diminta menjaganya sesekali, tetapi hati saya tetap mahu pulang ke rumah.

 “Kalau saya ada undangan di luar, Bella tetap saya bawa kerana tak sanggup berpisah dengannya. Kerana dia merupakan orang yang paling rapat dengan saya,” katanya yang menganggap Bella sebagai anaknya biarpun bukan darah daging sendiri.

 Stacy juga dikatakan cukup terluka andai ada yang terus memanggil si kecil kesayangannya, Bella Deluna Valentina, sebagai anak angkat.

Stacy juga sanggup mengorbankan keperluan sendiri dengan memperuntukkan masa bersama anaknya,

 Kolaborasi bersama SM*SH 

 Dalam pada itu, berkongsi pula mengenai kolaborasinya dengan kumpulan SM*SH dari Indonesia, Stacy berkata, dia berasa bertuah apabila ditawarkan untuk merakamkan lagu terbaru mereka berjudul Hello.

 Baginya, kumpulan itu merupakan kumpulan popular dan mendapat sokongan peminat mencecah 6.7 juta orang.

 “Ia satu peluang besar bagi Stacy untuk memperkenalkan nama saya di Indonesia. “Pengikut Facebook saya sudah mencecah satu juta dari 400,000, dan kebanyakannya dari Indonesia sejak lagu kami dilancarkan baru-baru ini,” katanya.

 Lebih menggembirakan, kata Stacy disebabkan pengaruh kumpulan itu yang sangat kuat dan mempunyai pengikut yang cukup ramai di Indonesia dan Malaysia, secara tidak langsung peminatnya dari Indonesia juga semakin bertambah.[SH]

0 comments: