#'LadyYusry' Akaun Instagram Baharu Lisa Surihani Elak Penyamar

Lisa antara selebriti yang mempunyai pengikut tertinggi di laman sosial. 

PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani mengambil keputusan menukarkan nama profil di Instagram miliknya iaitu ‘Lisa Surihani23’ kepada ‘Lady Yusry’ ekoran muncul satu akaun di laman sosial itu yang menyamar sebagai dirinya.

 Menurut Lisa, 27, kewujudan akaun iaitu ‘Lisa Surihani24’ telah mengelirukan peminatnya apabila pemilik akuan berkenaan menuduh akaun Instagram sebenar milik Lisa adalah palsu dan telah digodam.
Lisa menjelaskan bahawa akaun terbaharunya kini ialah Lady Yusry

 "Saya bersimpati dengan individu (Lisa Surihani24) yang terpaksa memperdaya orang lain untuk mendapatkan pengikut (followers) dengan mempergunakan nama saya.

 "Siapa pun anda, saya amat berharap anda mendapat pengikut memandangkan itu apa yang anda hendak lakukan, cuma saya meminta anda menggunakan nama sendiri," tulisnya menerusi akaun Instagram miliknya pada malam Khamis.

 Sementara itu, Lisa juga memaparkan kenyataan akaun palsu berkenaan yang menuduh akaun asli miliknya sebagai hacker (penggodam).
Kenyataan daripada pemilik akaun palsu Lisa Surihani24 yang mendakwa akaun sebenar Lisa adalah palsu.

 Menurut kenyataan pemilik akaun palsu itu: "Jangan ikut ‘Lisa Surihani23’ yang merupakan hacker! ini (Lisa Surihani24) adalah akaun saya sebenar, akaun pertama saya telah digodam, sila ikut saya di sini dan terima kasih."

 Dalam pada itu, Lisa turut memuat naik sebuah video di Instagram bagi menjelaskan perkara itu dan membuktikan akaun tersebut adalah miliknya.
Lisa merupakan antara selebriti yang aktif dan mempunyai pengikut tertinggi di laman sosial.

 Sehingga kini, Lisa memiliki sebanyak 2.6 juta pengikut di Facebook, Twitter (1.6 juta) dan Instagram (458,000).[mStar]

No comments