Monday, December 16, 2013

#KISAHNYA - Mereka hadir dari penyanyi latar dan menjadi superstar

Kini mereka antara penghibur lagenda, dengan jualan album berjuta dan para peminat yang tak kurang ramainya.

Tapi suatu masa dahulu, para penyanyi di bawah ini juga pernah bekerja sebagai penyanyi latar kepada penghibur lain dan tidak dipedulikan sesiapa.

 Whitney Houston 
Sebelum dia menjadi antara legenda hebat dalam bidang nyanyian, penyanyi bersuara lantang ini pernah menjadi penyanyi latar buat penyanyi-penyanyi legenda lain seperti Chaka Khan, Jermaine Jackson dan Lou Rawls ketika berusia 15 tahun.

 Tapi hakikatnya, kejayaan dalam bidang nyanyian bukanlah satu kejutan buat Houston, kerana dia dikelilingi ahli keluarga yang dikenali dan dihormati dalam bidang seni.

Ibunya penyanyi gospel Cissy Houston, sepupunya pula pelakon dan penyanyi Dionne dan Dee Dee Warwick, manakala pelantun suara era 60-an, Darlene Love pula merupakan ibu angkatnya.

 Phil Collins
 Penyanyi rock British ini kini dikenali sebagai penyanyi dan komposer yang dihormati dengan vokal yang unik.

Tapi suatu masa dahulu, dia hanyalah penyanyi latar buat kumpulan Genesis. Hanya selepas pengunduran Peter Gabriel dari Genesis pada tahun 1975, barulah Collins diberi kepercayaan untuk menggantikannya sebagai vokalis baru mereka.

 Sheryl Crow 
 Guru sekolah rendah ini bermula sebagai penyanyi jingle untuk iklan McDonald’s dan Toyota sebelum menjadi penyanyi latar kepada Michael Jackson.

Dia juga sering mengikuti kumpulan muzik raja pop itu dalam konsert jelajahnya di era 80-an.

 Selain Jackson, Crow juga dipanggil untuk menjadi penyanyi latar kepada artis-artis terkemuka seperti Stevie Wonder, Belinda Carlisle, dan Don Henley.

 Faith Hill 
 Dia pernah gagal dalam ujibakat menjadi penyanyi latar buat penyanyi rentak desa, Reba McEntire, tapi kemudiannya diambil bekerja di sebuah syarikat penerbitan muzik sebagai penyanyi demo dan latar buat penyanyi-penulis lirik Gary Burr yang sering membuat persembahan di Kafe Bluebird, Nashville.

 Melalui kerjaya latarnya dengan Burr, Hill ditemui oleh eksekutif Warner Bros. Records, Bob Saporiti sekaligus menandatangani kontrak pertamanya.

 Elton John 
 Ketika dia masih lagi sedang cuba untuk menapak dalam industri muzik, Elton John bekerja sebagai penyanyi latar buat trio komedi, puisi dan muzik The Scaffold di Liverpool.

Dia juga menjadi pemain piano buat beberapa artis di England termasuk The Hollies. Sebelum itu, Elton dan rakan-rakannya pernah menubuhkan kumpulan Bluesology dan menjadi kumpulan latar dalam konsert-konsert jelajah The Isley Brothers, Major Lance, Patti Labelle dan The Bluebells.

 Gwen Stefani 
 Stefani bukanlah vokalis asal No Doubt tetapi bertindak sebagai penyanyi latar sahaja. Malah kumpulan tersebut asalnya mempunyai vokalis lelaki. Namun begitu, apabila vokalis tersebut, John Spence membunuh diri pada tahun 1987, Stefani, yang juga adik kepada Eric Stefani, seorang daripada pengasas No Doubt, ditawarkan menjadi anggota tetap dan vokalis utama mereka.

 Mariah Carey 
 Penyanyi wanita yang kini antara penghibur paling laris sepanjang masa ini memulakan kerjayanya sebagai penyanyi latar kepada penyanyi pop dan salsa, Brenda Starr pada lewat era 80-an.

 Starr yang membantu Carey untuk menjadi penyanyi apabila dia memberikan pita demo Carey kepada eksekutif Columbia Records, Tommy Mottola yang kemudiannya menandatangani Carey dan mengahwininya!

 Jimi Hendrix
 Sebelum dia menjadi legenda rock 'n roll, Jimi Hendrix memulakan kerjayanya sebagai penyanyi latar kepada beberapa penyanyi dan kumpulan rock di Amerika Syarikat, termasuk AIley Brothers, dan juga Little Richard.

 Malah dia turut merakam "I Don’t Know What You Got, But It Got Me" bersama Little Richard pada tahun 1964-65 sebelum akhirnya menubuhkan kumpulan Experience pada tahun 1966.

 John Legend 
 Penyanyi-komposer bersuara lunak ini bermula sebagai penyanyi latar untuk lagu hit 2003 Alicia Keys, 2003 song "You Don’t Know My Name" dan remix lagu Britney Spears ciptaan Kanye West, "Me Against the Music".

 Legend juga merupakan pemain piano dalam lagu "Everything Is Everything" nyanyian Lauryn Hill. 

Cher 
 Sebelum dia menjadi sebahagian daripada duo Sonny & Cher pada tahun 1965, penyanyi bersuara besar ini merupakan penyanyi latar kepada beberapa kumpulan hebat, termasuk lagu "Be My Baby" dendangan Ronettes dan "You’ve Lost That Lovin’ Feelin" nyanyian Righteous Brothers.

 Dia mula bergerak secara duet bersama Sonny Bono selepas mereka diperkenalkan oleh penerbit muzik, Phil Spector.

0 comments: