#ALFATIHAH :Jenazah Azean Irdawaty disemadikan di Bukit Kiara

Anak sulung kepada Allahyarhamah Azean Irdawati, Khaeryell Benjamin Ibrahim atau Benjy, 34, menabur bunga ke pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas jenazah selamat dikebumikan. - Foto Bernama 

 KUALA LUMPUR - Jenazah seniwati Azean Irdawaty Yusoef, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada tengah hari selepas disembahyangkan di Masjid Al-Mamuriah Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya.

 Selain anggota keluarga, ramai rakan seperjuangan Allahyarham dalam bidang seni yang hadir seperti Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, pengarah filem Datuk Shuhaimi Baba, pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor, pelakon Ako Mustapha, Elly Suriati dan penyanyi kumpulan Elite Sasha Mohd Saidin.

 Azean, 63, menghembuskan nafas terakhir semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kanser selepas dimasukkan ke PPUM pada Isnin kerana kesukaran bernafas.

 Anak sulung Allahyarham, pelakon Khaeryell Benjamin Ibrahim atau Benjy, 34, berkata beliau reda dengan pemergian ibunya walaupun akan merinduinya.

 "Saya rindu sangat padanya, (tapi) dia tidak lagi menanggung kesakitan...saya reda dengan pemergian mama dan berharap dia pergi dengan tenang.

 "Sebelum mama pergi, dia mengharapkan saya berkahwin dan jangan berhenti berlakon," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengkebumian.

 Shuhaimi menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang 'luar biasa' dalam industri lakonan. "Semangat dan perjuangan arwah begitu kental...dia seorang yang tidak lokek berkongsi ilmu lakonan dan langsung tidak simpan lebih untuk diri dia, selagi dia berdaya, dia akan berkongsi ilmunya dengan semua orang," katanya.

 Rosyam pula menganggap pemergian Azean, seorang yang banyak memberi inspirasi, sebagai kehilangan besar industri lakonan tempatan.

 "Saya anggap 'Kak Yan' sebagai kakak saya yang banyak menegur salah silap saya dalam bidang lakonan dan arwah merupakan seorang yang serius. Arwah merupakan mentor kepada saya dan kepada ramai pelakon di luar sana," katanya.

 Azean mencipta nama sebagai penyanyi dahulu pada era 70-an sebelum popular sebagai primadona layar perak pada akhir tahun 70-an menerusi lakonan dalam filem seperti 'Esok Masih Ada' (1980), 'Langit Petang" (1982), 'Perempuan' (1988), 'Layar Lara' (1997), 'Laila Isabella' (2003) dan 'Waris Jari Hantu' (2006) selain drama 'Aishah 50 sen' yang cukup meninggalkan kesan di hati penonton.

 Sepanjang perjalanan hidupnya sebagai anak seni, Allahyarham meraih pelbagai anugerah, bermula dengan Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa pada 1980, 1990 dan 1996.

 Anugerah terakhir yang diterimanya adalah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2008 menerusi filem 'Waris Jari Hantu'. - Bernama

No comments