Saturday, February 25, 2017

#DOA ~ Ary Malik Kini Kritikal Akibat Kanser Ovari

Kita doakan agar Ary Malik segera sembuh. Foto dari Instagram miliknya.

 Pelakon dan pengacara Ary Malik berada dalam keadaan kritikal selepas dimasukkan ke Hospital Ampang dekat sini akibat kanser ovari yang kini pada tahap empat.

 Suaminya Shahrul Nizam Shaharuddin, 46, berkata, Ary dimasukkan ke hospital itu pada 18 Februari lalu selepas keadaannya semakin lemah namun dia mula tidak sedarkan diri sejak empat hari lalu.

 "Ary mengalami sakit-sakit kira-kira setahun lalu dan selepas menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Mizan (Wangsa Maju) pada Mei lalu, barulah kanser ini dikesan.

 "Mulanya kami ingat ia ketumbuhan biasa,” katanya kepada mStar Online pada Sabtu.

Ary Malik (tengah) juga mahir memasak. 

Shahrul Nizam berkata, susulan itu sejak Jun tahun lalu Ary terpaksa menjalani kimoterapi bagi memulihkan kansernya itu sehinggalah terpaksa dibawa ke Hospital Ampang selepas keadaannya semakin kritikal.

 Ujarnya, doktor turut menjangkakan tumor akibat kanser yang dihidapi Ary itu dipercayai sudah merebak ke kepala.

 Ary atau nama sebenarnya Nurita Maliha Aryanee Malik, 46, terkenal pada era 1990-an dan turut aktif sebagai pengacara televisyen.

 Dia juga pernah menyertai rancangan realiti iaitu MasterChef Malaysia terbitan Astro pada tahun 2012 dan layak sehingga ke peringkat akhir.

 Hasil perkahwinannya dengan Shahrul Nizam atau lebih dikenali sebagai Shahrul Bromo, mereka memiliki tiga orang anak iaitu, Nurh Zoe Iman Malik, 19, Dinda Pelangi Timor Malik, 13, dan Ratu Chinta Mecca Malik yang berusia 11 tahun. [mStar]

#TAHNIAH ~ 'No Media' Pada Majlis Nikah Sari Yanti & Jep (Sepahtu)

Pasangan pelakon Sari Yanti dan Jep (Sepahtu) secara mengejut melangsungkan pernikahan pada pagi Sabtu selepas berteka-teki tentang hubungan sebenar di antara mereka sebelum ini.

 Majlis secara tertutup itu diadakan di Dewan Mercu Mustapha Kamal di sini namun pihak media dilarang membuat liputan.

 Malah plakad 'No Media' turut dilekatkan pada pintu masuk menuju ke lif untuk ke dewan utama yang dikawal ketat oleh penganjur.

 Seramai 250 tetamu hadir pada majlis itu.

 Dalam pada itu, Sari Yanti, 33, turut memuat naik gambar Jep ketika melafazkan akad nikah dan turut berada dalam gambar itu adalah rakan baiknya, Shuib dan Rahim.

Jep turut ditemani oleh dua teman baiknya iaitu Shuaib dan Rahim ketika melafazkan akad nikah. Foto Ihsan Facebook CST PRODUCTION 

Antara rakan artis lain yang turut hadir adalah Wan Sharmila, Angah Raja Lawak, Azhael, Nazim Othman, Syazwan Zulkifly dan Abby Fana.

 Ia adalah perkahwinan kedua pelakon itu selepas berpisah dengan bekas suaminya, Mohd Eddy Casmadi pada 11 Disember 2014.

 Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak, Barr Al Aly dan Basit Al Haq.

 Sebelum ini, gosip mengenai hubungan kedua-dua mereka menjadi bualan hangat apabila mereka sering berkongsi gambar di laman sosial.[mStar]

Friday, February 24, 2017

#CANTIK ~ Samantha Dinobatkan Miss Universe Malaysia 2017

GADIS dari Kuala Lumpur, Samantha Katie James muncul dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2017.

 Samantha, 23, yang merupakan seorang model dan pelakon berwajah kacukan Cina-Brazil menerima gelaran itu di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Samantha yang berjaya menewaskan 16 peserta lain sekali gus membawa pulang wang tunai RM52,000 dan barangan lain berharga lebih RM150,000.

 Selain itu, kemenangan itu turut membawanya untuk mewakili Malaysia di pertandingan Miss Universe edisi ke-66 akan datang.

 Manakala, tempat empat kedua, ketiga, dan keempat masing-masing disandang oleh Dana Low, Ollemadthee Kunasagaran, dan Laura Simon.

 Menerusi pertandingan ini, peserta dinilai dalam beberapa pusingan iaitu sesi pakaian renang, gaun malam dan soal jawab.

 Tujuh juri yang mengadili peserta adalah selebriti terkenal tempatan, Datuk Hans Isaac dan Debbie Goh; Miss Universe Malaysia 2004, Andrea Fonseka; pereka fesyen, Rizman Ruzaini,; pemilik salon Shawn Cutler, Shawn Loong; pemilik Ceres Jewels, Datuk Sri Navneet Goenka; dan Pengarah Pemasaran Rangkaian Antarabangsa NBCUniversal, Judriena Jamaludin. – MYNEWSHUB.CC

#KELAINAN ~ 9 Ahli Muzik Paling Misteri Yang Pernah Wujud

MEMINATI sesebuah kumpulan atau ahli muzik bukanlah perkara pelik tetapi sesetengah daripada mereka ternyata memang lain daripada yang lain.

Dan kerana itulah menjadikan mereka istimewa.

 Walaupun banyak kumpulan penghibur yang terkenal di dunia, namun kehadiran ahli-ahli muzik ini memberi kelainan kepada dunia nyanyian yang sedia ada oleh kerana ;misteri’ yang menyelubungi kewujudan mereka.

 Sekurang-kurangnya mereka menampilkan kelainan menjadikan usaha mereka sewajarnya dipuji. Mari kita ikuti kisah 9 ahli muzik paling misteri di dunia:

 1. Ghost
Ghost merupakan kumpulan rock kultus yang menyanyikan lagu-lagu memuji syaitan.

Ini tidaklah terlalu pelik kerana Sweden memang mempunyai ramai kumpulan rock yang mengagungkan syaitan; tetapi apa yang misterinya adalah keenam-enam ahlinya masih belum diketahui identiti mereka!

Mereka hanya dikenali sebagai “nameless ghouls” atau “momok tak bernama” sehingga ke hari ini. Lain macam.

 2. Tupac
Rapper terkenal ini telah meninggal dunia selama lebih 20 tahun namun peminatnya masih belum dapat menerima kenyataan kerana Tupac dikatakan telah dilihat di Cuba dan di Barbados.

Namun, selain beberapa keping gambar yang kurang jelas, tiada bukti kukuh yang boleh mengesahkan dia benar-benar belum mati.

 3. Richey Edwards
Jika anda peminat Manic Street Preachers, anda pasti sudah sedia maklum dengan misteri kehilangan Richey Edwards, gitaris dan penulis lirik kumpulan itu.

Kisah bermula apabila Richey pulang ke kampung halamannya di Blackwood, United Kingdom. Namun, dia tidak kembali semula ke Amerika Syarikat dan menghabiskan masa 2 minggu di sana sebelum ‘lenyap’ daripada muka bumi pada usia 27 tahun.

Selepas 13 tahun mencarinya, akhirnya Richey diumumkan telah meninggal dunia.

Bagaimanapun, ahli kumpulannya masih membayar 25% daripada hasil pendapatan mereka ke dalam akaun banknya, kerana masih percaya dia masih hidup.

 4. Giuseppe Tartini
Giuseppe merupakan penggesek biola yang lahir pada tahun 1692.

Dia juga merupakan salah seorang daripada pemilik terawal biola Stradivarius yang amat terkenal di kalangan pencinta alat muzik tersebut.

Beberapa tahun sebelum kematiannya, dia telah bermimpi berjumpa Iblis, yang memainkan sebuah lagu kepadanya menggunakan biola.

 Pada keesokan paginya, Giuseppe menulis kembali melodi yang didengarinya, dan nota-nota muzik itulah yang mencipta lagu Sonata in G Minor atau lebih dikenali sebagai The Devil’s Song (Lagu Iblis).

 Lagu tersebut dikatakan begitu kompleks dan tidak mampu dimainkan oleh sesiapa pun, dan menurut lagenda, hanya mereka yang telah menjual rohnya kepada Iblis sahaja yang boleh memainkan lagu itu dengan baik.

 5. Elvis Presley
Elivis meninggal 40 tahun yang lalu namun sama seperti Tupac, peminatnya masih belum dapat menerima kenyataan.

Terdapat beberapa saksi yang bersumpah telah menemui Elvis masih hidup dan sihat walafiat di serata AS.

Ada juga yang mengandaikan Elvis sebenarnya telah diculik oleh makhluk asing! Haih, macam-macam.

 6. Robert Johnson
Robert merupakan ahli ‘Kelab 27’ – iaitu sekumpulan ahli muzik terkenal yang meninggal dunia pada usia tersebut.

 Lagenda blues ini mati akibat keracunan pada tahun 1938.

 Kisah bagaimana Robert tiba-tiba mahir bermain gitar dikatakan bermula apabila dia telah ‘berjumpa’ dengan Iblis ketika dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Menurut cerita itu lagi, Iblis dikatakan membetulkan tune gitar Robert dan ‘merahmati’nya dengan bakat bermain gitar, sekaligus menjadikan begitu mahir memainkan alat muzik itu secara serta-merta!

 7. Syd Barrett
Syd Barrett terkenal menerusi pembabitannya dengan grup rock psikadelik Pink Floyd.

Selepas satu insiden yang pelik semasa membuat persembahan, separuh daripada wajah Syd mula ‘mencair’.

Dia kemudiannya tinggalkan Pink Floyd dan menubuhkan kumpulan baru yang diberi nama Stars.

Kumpulan barunya itu tidak semahsyur Pink Floyd, namun album-album mereka mempunyai misteri yang belum dapat dirungkai hingga kini.

Dalam lagu Two Little Towers, Syd menyanyikan tentang menara yang roboh pada tahun 2001.

Selain itu, dia juga meramalkan tahun kematiannya dengan tepat iaitu pada 2006.

 8. Jimmy Page
Jimmy Page merupakan gitaris bagi kumpulan rock terkenal, Led Zeppelin dan dikatakan telah melakukan perjanjian dengan Iblis.

Malah, tiga ahli Led Zeppelin yang lain turut dikatakan telah membuat perjanjian dengan makhluk itu.

Ada yang mengatakan lagi hit mereka, Stairway to Heaven dikatakan mempunyai mesej tersembunyi memujuk pendengarnya memuja Iblis jika lagu itu dimainkan secara terbalik.

 9. David Bowie
David Bowie telah menggunakan pelbagai nama dalam karier muziknya termasuklah The Fallen Star, Ziggy Stardust dan The Man Who To Earth.

Oleh kerana imejnya yang pelik serta persona yang kelihatan seperti bukan berasal daripada dunia ini, ada yang membuat spekulasi bahawa Bowie sebenarnya makhluk asing yang datang ke Bumi daripada angkasa lepas. – MYNEWSHUB.CC

#PENAFIAN ~ "Scha Belum Hamil" - Awal Ashaari

Foto daripada Instagram Awal yang mencetuskan persoalan kononnya Scha sedang hamil. 

 Telahan netizen kononnya pelakon Scha Alyahya kini sedang hamil anak kedua berdasarkan gambar yang dimuat naik suaminya yang juga pengacara, Awal Ashaari ternyata meleset.

 Menurut Awal, dia mengakui gambar berkenaan menampakkan bahagian perut isterinya sedikit berisi seakaan sedang hamil.

 "Saya sendiri pada mulanya tak sedar, tapi selepas melihat ramai yang komen di Instagram ucap tahniah kononnya Scha hamil, baru saya perasan keadaan pada gambar itu.

 "Scha pun ada tegur, tapi saya biarkan sahaja dan ambil keputusan tak perlu padam gambar berkenaan.

Tapi ingin saya jelaskan di sini bahawa Scha belum hamil," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Awal dan Scha sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menambah cahaya mata. 

 Awal, 36, mengulas mengenai ucapan tahniah pengikut di laman Instagram kononnya anak pertama mereka, Lara Alana bakal mendapat adik.

 Jelas Awal baju yang dipakai Scha dari kain velvet yang tebal dan berat memberi ilusi seperti yang diperkatakan pengikutnya di Instagram.

 "Walau apa pun saya ucapkan terima kasih di atas doa dan ingatan semua.

Memang kami merancang untuk tambah anak pada tahun ini, tapi hingga kini belum ada rezeki," katanya.

 Sementara itu diminta mengulas mengenai pencalonan Lara Alana, 3, dalam anugerah MeleTOP Era 2017 bagi kategori Si Cilik MeleTOP, Awal berkata dia bersyukur apabila anaknya turut diberi peluang memeriahkan program berkenaan.

 "Ini baru pencalonan awal, semuanya terpulang kepada orang ramai untuk memilih anak selebriti mana yang mereka suka.

 "Sebagai bapa saya akan terus berkongsi aktiviti harian Lara di Instagram seperti biasa. Tak kisah siapa menang, anggap sahaja untuk suka-suka," katanya.[mStar]

Thursday, February 23, 2017

#KONTROVERSI ~ Lindsay Lohan disuruh buka tudung ketika di New York

ISU perubahan pelakon Hollywood, Lindsay Lohan yang kini kelihatan mendalami Islam kini timbul kembali apabila aktres tersebut menceritakan pengalamannya ditahan di lapangan terbang, lapor ENews!.

 Lohan, 30, mendakwa pegawai di lapangan terbang tersebut menahannya hanya kerana satu sebab sahaja iaitu memakai tudung.

 “Baru-baru ini saya ke kota New York dan memakai tudung, namun begitu saya telah ditahan di lapangan terbang dan ‘diprofil secara perkauman’, ini merupakan pengalaman pertama saya berhadapan situasi ini.

 “Apabila pegawai tersebut membuka pasport dan melihat nama saya, dia kemudiannya meminta maaf tetapi meminta agar menanggalkan tudung saya,” katanya dalam rancangan Good Morning Britain.

 Lohan yang juga seorang penyanyi mengatakan pengalaman tersebut menakutkannya dan terfikir bagaimana dengan wanita muslim yang turut dipaksa menanggalkan tudung mereka.

 “Pengalaman ini menarik namun menakutkan dan pelik.

Saya berasal dari New York namun ia membuatkan saya berasa gentar,” katanya lagi.

 Bintang tersebut dipercayai pulang dari Turki di mana beliau sempat bertemu dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

 Lohan mendakwa tindakannya memakai tudung semasa berada di negara tersebut untuk menghormati masyarakat di sana.

 Perubahan bintang tersebut menjadi perbualan orang ramai setelah memegang al-Quran serta meletakkan ayat ‘Alaikum salam’ di laman sosial Instagramnya.[SH]

Tuesday, February 21, 2017

#GEMPAR ~ Siti Sarah Cemas Shuib Dimasukkan Ke ICU

Penyanyi Siti Sarah akui cemas apabila suaminya, Shuib dimasukkkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam.

 "Saya memang tidak menyangka rupanya keadaan Shuib sudah semakin teruk selepas dia menahan sakit sejak dua minggu lalu.

 "Semalam siang dia masih boleh ikut saya menghadiri mesyuarat untuk majlis perkahwinan kami tetapi bila malam dia beritahu badannya sudah tidak berdaya dan meminta saya membawanya ke hospital.

 "Bila sampai di hospital, dia terus dimasukkan ke ICU selepas mendapati tekanan darahnya agak rendah.

 "Semalam pelbagai pemeriksaan dilakukan doktor termasuk pemeriksaan paru-paru dan juga darah tetapi sehingga kini kami belum tahu keputusannya," katanya kepada Astro Gempak ketika dihubungi.

 Tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi menghampiri majlis perkahwinan mereka, Sarah memberitahu kini dia hanya memikirkan keadaan Shuib dan berharap keadaannya semakin baik.

 ARTIKEL BERKAITAN: #HOT ~ Pembantu Rumah Terkejut Bila Tahu Shuib Nak Kahwin Lagi

"Setakat ini, perancangan untuk majlis persandingan kami berjalan seperti biasa.

 "Saya cuma berharap semuanya berada dalam keadaan baik dan berjalan dengan lancar.

 "Apa yang penting sekarang ini kesihatan Shuib. Dia ada memberitahu yang dia mahu berehat dan bercuti tetapi tak dapat berbuat begitu kerana banyak urusan kerja yang masih belum diselesaikan lagi.

 "Saya tertekan dan risau apabila dapat tahu Shuib jatuh sakit kerana terus-terang saya tidak akan okay jika dia tidak okay," katanya lagi.

 Majlis persandingan Shuib dan Sarah akan berlangsung pada 26 Februari ini bertempat di Bora Ombak, Putrajaya.[Astro Gempak]